Friday, March 6, 2015

Berhentilah Mengaibkan Orang Lain




Apa nak jadi dengan manusia zaman sekarang, tak ada kerja lain ke selain daripada penyebar benda yang tak berfaedah, berunsur fitnah dan menjatuhkan maruah orang? Bukankah menyebarkan sesuatu perkara yang mengaibkan orang lain adalah dosa besar walaupun ia adalah benar?

Dalam Islam, tidak boleh menyebarkan keaiban orang lain walaupun mahkamah telah membuat keputusan tentang sesuatu kes. Misalnya, Si Fulan merogol Si Minah dan kita merupakan saksi, kita adalah dilarang untuk menghebohkannya ke mana-mana pihak kecuali melaporkan kepada Polis.

Islam juga tidak pernah mengajar kita untuk mecari-cari kesalahan orang lain walaupun ia perkara yang benar. Sepertimana firman Allah,

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat 49:12)
           
           Perhatikan petikan ayat di atas “janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang” . Melalui firman Allah di atas, ia menjelaskan bahawa perbuatan mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain adalah satu perbuatan yang amatlah dilarang.
            
            Malah, ia merupakan dosa besar yang sukar diampun kecuali kita benar-benar bertaubat kepada-Nya.  Semakin ia disebarkan, semakin besar dosanya.

Bayangkan, kita sebar kepada 10 orang dan setiap seorang dari mereka sebarkan pula kepada 10 orang lain dan ia berterusan. Sudah pasti dosa itu akan berganda dan balasan diakhirat amatlah berat.

Rasulullah turut mengingatkan umatnya agar tidak mengaibkan orang lain atau padah akan mendatang. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW:

“Jangan buka aib orang kerana Allah akan membuka aibmu walaupun di dalam rumahmu sendiri”
     
       Banyak lagi perkara yang berfaedah dan mendatangkan pahala jika kita berbicara. Janganlah asyik mencari aib orang lain, sedangkan aib sendiri tak terjaga. Sentiasa beringatlah,

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita bukannya suci,

Rujuk Surah al-Najm, ayat 31-32:

“Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.”
            
            Lihat Allah mengingatkan kita- maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dari perspektifku, peringatan ini diberikan kerana kebiasaannya orang yang mencari aib orang lain menganggap dirinya adalah suci atau lebih baik dari orang lain.
            
            Dengan adanya perasaan ‘aku suci’ atau ‘aku lebih hebat’ membuatkan seseorang itu merasakan dirinya layak untuk mencari keaiban orang lain dan menyebarkannya.

Akhirulkalam,
            
             Marilah kita bersama-sama berhenti mencari aib orang lain, janganlah kita menjatuhkan maruah orang lain walaupun ia perkara yang benar.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk teradap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." (Hadith riwayat Ahmad dan Tarmizi)


Dosa Membuka Aib Orang

Membuka Aib Orang atau Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasulullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.  Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia boleh disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.  Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.  Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.  Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.

"Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.  Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. "wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya".

Maka Allah menjawab :"Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkan lah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain dilaknat oleh Allah.  Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar.Ketika berbual, sama ada secara sengaja atau tidak, mereka menceritakan keburukan ketuanya, jiran, saudara mara dan orang yang lalu di hadapan mereka.

Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.aEt (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Al-Thabrani daripada Abu Hurairah bermaksud: aEsYang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah.

 Imam al-Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat:

1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan    keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain;
6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya ialah;

a. Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar;
b. Sedar dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang;
c. Hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.




Sekadar renungan bersama




No comments: