Thursday, May 8, 2014

~ 4 Tanggungjawap Terhadap Isteri ~

Petikan dari :

Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08


Pergeseran dalam kehidupan rumah tangga sudah menjadi semacam perkara biasa. Hal yang kecil kadangkala menjadi besar sehingga membawa kepada pertengkaran berpanjangan dengan masing-masing bermasam muka.

Suami yang baran cepat saja tangannya singgah pada pipi ataupun badan isteri. Tindakannya langsung tanpa diduga walaupun membabitkan hal remeh. Mentang-mentanglah suami ketua keluarga.

Kemudian mutakhir ini kita juga dikhabarkan dengan kes isteri ganas. Suami bukan dihormati, tetapi dicaci. Bahkan, tergamak si isteri menendang dan memukul suami sendiri sedangkan ketika baru berkahwin dulu semuanya baik belaka. D

Demikianlah jadinya apabila kehidupan pasangan suami dan isteri tersasar daripada landasan keimanan. Apabila kita lupa Tuhan dan tidak mempedulikan-Nya, kita menjadi kabur dalam membuat pertimbangan. Hidup kita dalam kegelapan dan teraba-raba. Jadi, bagaimana mungkin dalam keadaan itu kita dapat mencari arah yang betul? Sebab itu, tidaklah pelik rumah tangga kita kerap saja bergolak dan porak peranda. Justeru, bangkit dan segeralah mencari cahaya dalam menuju kebahagiaan. Tiada seorang pun daripada kita yang tidak mahu bahagia dan tiada cahaya lebih terang, melainkan dengan cahaya keimanan.

Apabila hidup kita disinari cahaya itu, kita dapat memahami hak serta tanggungjawab dengan sebaik-baiknya sama ada kita sebagai suami atau isteri dan untuk kali ini, antara tangungjawab suami ialah:  

Memberikan nafkah
Sudah menjadi ketetapan agama bahawa suami wajib memberikan nafkah kepada isteri seperti perbelanjaan untuk makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal isteri sesuai dengan kemampuannya. Firman-Nya dalam surah at-Talaq, ayat 7 bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Membimbing isteri
Firman-Nya dalam surah at-Tahrim, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar, tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Penjagaan ini tidak mungkin dilakukan melainkan dengan pendidikan, pengajaran dan nasihat.

Aspek yang cukup penting ialah nasihat agar sentiasa bertakwa dengan mentaati perintah agama seperti mendirikan solat difardukan.

Firman-Nya dalam surah Thaha, ayat 132 bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya...”

Memaafkan kesalahan isteri
Ketika isteri bersalah, janganlah suami terburu-buru menghukumnya, tetapi berusahalah untuk memberi kemaafan demi kesejahteraan rumah tangga. Carilah puncanya dan bukannya cepat membuat kesimpulan.

Contohilah peribadi Rasulullah SAW yang sangat penyabar dalam menangani hal kekeluargaan.

Daripada Aisyah RA katanya: “Saya tidak pernah melihat pakar masak seperti Shafiyah. Suatu ketika dia memasak untuk Rasulullah SAW, sementara baginda tengah berada di rumah saya. Maka saya gelisah dan gementar kerana rasa cemburu.

Lantas saya pecahkan wadahnya, kemudian saya menyesal. Saya berkata kepada Rasulullah SAW: “Apa denda perbuatan saya?” Rasulullah SAW bersabda (ertinya): “Bekas diganti dengan bekas (piring), makanan diganti makanan.” (Hadis riwayat Abu Daud)  

Menjaga perasaan isteri terutama ketika haid
Haid mengandungi kotoran dan penyakit. Suami harus memahami perkara ini. Wanita yang sedang mengalami haid akan mengalami perubahan emosi yang berpengaruh besar pada tingkah laku dan akhlak misalnya mudah sakit kepala dan cepat letih.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 222 bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: Darah haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) ketika haid dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. “Apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.” Sedikit pengajaran yang sempat dikongsi bersama ini diharapkan dapat mengingatkan kita yang selalu terlupa. Mudah-mudahan kerukunan rumah tangga kita kekal terpelihara sepanjang masa.



something to be shared :











No comments: